"Gayong Boleh Buat Mandi Sahaja" - Apa Falsafah ADMAR Sebalik "GAYONG"?
Saturday, March 06, 2010
Leave a Comment
"kalau ekau ada gayong, aku ada cetong"
"tak munasabah langsung, silat gayong. Silat Baldi lagi besar"
"Budak gayong mandi banyak, sebab ada gayung"
Suka atau tidak pengalaman saya membantu dan mengajar Silat Seni Gayong selama 16 tahun seringkali terdengar ejekan dan gurauan tersebut. Tidak sedap lagi kalau ada budak silat yang mengadu katanya ada orang mengatakan sedemikian. Saya sering menjawab;
"biar la mereka, kalau tidak jatuh mana orang ingatkan ubat luka"
Persoalan mengenai apa itu Gayong tidak pernah dipersoalkan oleh saya kepada mana-mana guru saya terdahulu kerana saya mendapat jawapan sama. Gayong itu adalah Gengam Angkat Yakin Waras Ngeri yang menjadi maksud demi perkataan yang di dalam jawi.
Itu yang saya bawa tetapi atas alasan tidak pernah berpuashati dengan jawapan yang skima, soalan itu tidak pernah diungkitkan lagi.
Kemudian pada sekitar tahun 1990an, saya bertanya kepada Pakndak Majid Isa mengenai apa itu Gayong dan kenapa nama Gayong. Katanya Pakndak Majid, Gayong itu adalah nama seorang pendekar terbilang yang turut menggunakan ilmu persilatan ini maka silat ini digelarkan Gayong. Diertikan juga Gayong itu sebagai Gengam Angkat Yakin Waras Ngeri yang membawa maksud sebegini dan sebegitu dalam satu persatunya.
Saya simpan tetapi tidak pernah bersetuju dan yakin dengan jawapan sedemikian. Terlalu komplek untuk difikirkan oleh ADMAR dan kenapa Panglima Hitam atau salasilah Daeng tidak digunakan sebaliknya Gayong. Saya tidak menjawab kepada sesiapa kerana sememangnya tidak tahu apa itu falsafah sebenar "GAYONG" yang dimaksudkan oleh ADMAR.
Bertahun-tahun kemudian, saya bertanya kepada Cikgu Awang Daud. Itu pun selepas dahi dan muka saya dah kena carpet rumah semasa kena lipat dengannya "Cikgu, Gayong-Gayong yang orang dok sebut ni sebenarnya merujuk kepada apa?"
Dia tengok je saya dan senyum. "gayong ni gayong mandi la.. ada gayong lain ke? haha.. fikir lah mengaji (belajar) tinggi"
Saya terdiam dan tidak sambung percakapan sebagai tanda tidak puashati dan mengagakkan jawapan yang lebih menyakitkan hati akan diberikan kalau terus bertanya.
Hampir 10 tahun kemudian, seorang pelatih KSSG bertanyakan soalan sama kepada seorang guru lama di Negeri Sembilan. Seorang guru Gayong yang lebih senior daripada Cikgu Awang mahupun Pakndak Majid. "Kenapa Datuk (ADMAR) bagi nama GAYONG. Gayong ni apa dia?"
Persoalan yang sama seperti yang saya ajukan semasa 'muda-muda'. Guru lama itu menjawab " Gayong tu Gayong la.. yg mandi tu"
Jawapan yang sama dengan Cikgu Awang Daud. Samada kebetulan atau merujuk kepada niat jawapan yang sama, hanya Allah SWT maha mengetahui. Atas dasar ingin tahu, jawapan itu mahu diperjelaskan. Dengan tenang guru lama ini tidak berselindung, dia menerangkan bahawa Gayong itu adalah Gayong.
"Seni Gayong itu adalah diambil oleh datuk (ADMAR) daripada gayong. Ini adalah falsafah Seni Gayong yang datuk gambarkan mengenai Seni Gayong. Gayong adalah satu benda guna untuk jirus mayat. Gayong tidak pernah mencari mayat, tetapi mayat tetap mencari gayong. Kalau mayat datang, gayong akan di situ. Kalau awak Gayong maka yang musuh awak itu adalah mayat. Dia mari macamana pun kuat, dia adalah mayat bagi awak"
Dalam mencari maksud Gayong, saya rasa ini jawapan mengenai falsafah nama Gayong yang paling logik dan selari dengan kehidupan lama orang melayu. Malah sememangnya gayong waktu dahulu hanya digunakan untuk memandikan mayat.
Daripada penerangan itu saya menyimpulkan falsafah ADMAR dalam menamakan silat ini sebagai GAYONG kerana:
- Anak Gayong adalah rendah diri dan tidak mencari musuh;
- Anak Gayong adalah dilengkapi ilmu silat yang hebat dan mampu mengatasi lawan yang ditaksirkan sebagai mayat;
- Anak Gayong tidak lari daripada musuh atau peperangan apabila dicari oleh musuh;
- Anak Gayong bersikap diplomatik, lembut beradab, beradat dan sopan tetapi digeruni musuh;
Bila mendengar falsafah itu dan difikirkan kegerunan ilmu silat bernama Seni Gayong serta perumpamaan gayong pemandian mayat, saya terfikir bagaimana falsafah orang melayu dan pegangan mereka itu sendiri cukup menggerunkan.
Wallahua'llam
Sangat mendalam maknanya... ilmu yang diperolehi di N9 eloklah dikongsi sesama kita.
Pertemuan adalah singkat kerana terikat dengan disiplin amalan yang ketat daripada Seni Gayong. Selain daripada isu amalan, banyak bercerita tentang sejarah kehebatan anak Gayong dulu. Bagaimana tahap Imam Gelanggang boleh dimandi api petrol, bagaimana Khalifah Gayong kawasan boleh berjalan atas air.
Bukan isu dan perkara mencarik adat ingin diketengahkan tetapi amalan dan pergantungan kepada Allah SWT ekoran daripada amalan bertahun-tahun.
Masa agak suntuk tetapi akan ke sana lagi atas beberapa sebab. Nama dan indentiti dirahsiakan atas permintaan. Bagaimanapun namanya cukup dikenali oleh semua senior Gayong yang ada kini.
Kami Pusaka Gayong pertama sampai ke rumahnya dan tak ramai Anak Gayong mengenalinya.
Ilmu dan petua tu, kena mengadap la. Kena cakap kena minta, adat berguru.
terima kasih sedara atas penerangan. saya setuju ini paling logic
TQ post kat FB saya, hrp dpt belajar banyak lagii