PENDAHULUAN 1.0

Sunday, March 01, 2015 Leave a Comment

Bermula daripada semangat seorang anak muda, satu latihan silat telah ditubuhkan di Pandan, Kuala Lumpur sekitar 1975. Anak muda ini bukan mengejar nama dan pangkat. Bukan pula mengejar wang melalui silat. Beliau ikhlas dalam menubuhkan kelas silat sebegini dalam mendidik anak kecil dan remaja bagi melahirkan anak bangsa yang lebih baik sahsiah mahupun sosialnya.

Dengan peredaran masa dan keperluan perundangan, kelas latihan dan pergerakan tersebut telah didaftarkan secara rasmi atas nama Persatuan Seni Pusaka Gayong Persilatan Wilayah Persekutuan di Negeri Selangor (penempatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan masa itu). Kemudiannya didaftarkan di zon baru di Kuala Lumpur pada 1979 selari pada alamat perkembangan kelas latihan berkenaan.

Persatuan ini adalah pertubuhan berbeza daripada Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) yang menjadi keliruan utama kepada kebanyakan pihak. Walaupun Pusaka Gayong Persilatan ditubuhkan lebih awal, nama adalah seakan sama dan dibenarkan kerana masih ada perbezaan nama penuh dan juga tempat didaftarkan.

Latihan silat ini pada awal penubuhannya dikatakan tidak mempunyai silibus yang khas dan khusus dan sering berubah tertakluk kepada asas utama. Tetapi asas pembelajaran dan akar ilmu menjadi asas. Alhamdulillah, semoga pengorbanan masa dalam melahirkan Muslim yang baik diganjarkan Allah SWT kepada guru-gurulatihnya dahulu dan kini.

Atas beberapa krisis dan permasalahan yang berlaku di Kuala Lumpur, Persatuan Seni Pusaka Gayong Persilatan DIAMANAHKAN kepada Cikgu Hisham Nazir bagi menghidupkan dan melaksanakan apa sahaja latihannya bagi kebaikan masyarakat dan bukan kepentingan peribadi setelah melalui beberapa perbincangan. Persetujuan akad penyerahan ini telah dibuat bersaksikan Cikgu Shahril di Gombak Selangor. Satu surat sokongan dibuat oleh pihak Persatuan kepada Pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara bagi perkara ini dan juga makluman am.

Isu dua pertubuhan mempunyai dua nama yang seakan sama dan larangan pendaftaran di Kuala Lumpur juga turut pernah dibincangkan terus oleh Cikgu Hisham Nazir dengan Dato' Abdul Majid bin Mat Isa selaku Pengerusi PSSPGM bersaksikan beberapa sahabat dan orang-orang lama Silat Seni Gayong, rombongan 4 kereta hadir ke rumah Dato' Abdul Majid bin Mat Isa bagi mengesahkan beberapa perkara berkaitan di Kuala Lumpur seterusnya mengelakkan salah faham dan fitnah pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab yang boleh menjatuhkan maruah silat 2 pertubuhan berkenaan, gurulatih-gurulatih dan mahupun keperibadian Dato Abdul Majid bin Mat Isa di mata masyarakat.

Turut dibincangkan mengenai amanah Seni Pusaka Gayong Persilatan yang diterima membuatkan pihak kami serba salah dan secara ikhlas memohon meneruskan amanah tersebut secara berasingan. Perkara ini tidak dibantah. Perkara berkenaan pengunduran serta beberapa laporan ringkas pentadbiran beserta cadangan penambaikan pentadbiran telah diserahkan.

Atas rasa hormat kepada pertubuhan yang lain dan perbincangan malam berkenaan, jalan-jalan mudah kepada pendaftaran pertubuhan di Kuala Lumpur telah diberikan laluan dan sedia membantu sekiranya perlu. Oleh sebab itu juga, satu pendaftaran baru atas nama Persekutuan menggunakan nama asal Persatuan dibuat di Jabatan Pendaftaran Selangor atas nama PERSEKUTUAN SENI PUSAKA GAYONG PERSILATAN SENDI HARIMAU MALAYSIA.

TAMBAHAN SENDI HARIMAU

Hanya perkataan Sendi Harimau ditambah masuk. Perkataan tersebut ditambah masuk kerana perkataan tersebut adalah nama sebelum Silat Seni Gayong tetapi perkataan tersebut tidak ditonjolkan dalam mana-mana penulisan kecuali disebut SH sahaja.

Ia satu perkataan dan nama lama yang di abaikan dalam mana-mana pendaftaran Seni Gayong. Bagi mengelakkan ia di salahgunakan secara meluas sebagaimana perkataan Gayong, maka kami tambahkan bagi diterima pakai secara am.

SILIBUS DAN SISTEM

Silibus dan sistem telah di susun semula menjadikan kesemuanya adalah baru dan tidak menyamai yang mana ada bagi kebaikan pentadbiran.

PANGKAT DAN JAWATAN

Persekutuan ini bukanlah himpunan orang hebat berpencak. Tetapi hanya sekumpulan anak-anak muda yang ingin menggunakan Silat sebagai medium dan platform kepada kerja-kerja dakwah Islam, kebajikan dan pendidikan agar generasi baru akan lebih berjatidiri, mampu bersaing, baik dalam sikap dan sifatnya mahupun beragama. Turut mengusahakan agar lebih ramai profesional turun ke kelas latihan sebagai gurulatih bagi motivasi kepada masyarakat.

Tiada apa pun pangkat dan sandang diwujudkan kecuali  jawatan pentadbiran sahaja. Tiada Guru Tertinggi apatah lagi Mahaguru. Tiada Panglima mahupun Pendekar. Hanya ada gurulatih sahaja yang membimbing ke arah kebaikan. InsyaAllah.

Pentadbiran akan digantikan setiap 2 tahun untuk mengelakkan dominasi kepada pentadbiran serta memberikan peluang semua orang untuk mentadbir Persekutuan ini.

Semoga apa yang kita niatkan baik dan laksanakan untuk kebaikan bersama, diganjarkan Allah SWT dan menjadikan saham buat kita di akhirat kelak.

0 comments »

Leave your response!