,

Bertemu Murid Lama Gayong

Saturday, March 28, 2009 Leave a Comment

Latihan di Kota Damansara semalam agak muram dengan masalah hujan dan disiplin pesilat yang agak mengecewakan dan tempat dewan yang sempit berbanding bilangan pesilat yang menjangkau 75 orang pada masa ini. Pada minggu lepas, disiplin agak baik mungkin disebabkan beberapa individu tidak hadir tetapi minggu ini beberapa individu yang tidak berapa minat tapi datang nak gelak buat disiplin hancur. Berbekal pesan guru, sabar adalah yang terbaik dan tapisan akan ambil masa. Jangan guna kekasaran dan ayat yang kurang menyenangkan. Hormati sesiapa saja.

Namun, apa yang menarik di satu sudut dewan ada seorang tua bermisai lebat memerhati semenjak latihan telah dimulakan separuh. Memerhati dengan penuh minat.

Setelah selesai latihan dan bersalam dengan semua orang termasuk Ibu bapa dan penjaga serta AJK penduduk di kawasan situ, saya bersalam dengan pakcik bermisai lebat itu, ditariknya salam Gayong. Tanpa sedari saya bertanya nama gurunya dan di mana sambil bersalam dan memeluk orang tua tersebut. Murid lama ini di kenali sebagai Pakcik Mail yang menetap di Trolak, Perak.

Menurutnya beliau adalah Anak Gayong pada masa tahun 1950an di kawasan Kuala Kangsar yang mana pada masa itu beliau tinggal di Parit Buntar. Guru beliau adalah Arwah Cikgu Majid yang dikatakan tinggal di Kuala Kangsar dan sering hadir mengajar mereka dengan menaiki Vespa.

Ajaran Arwah Cikgu Majid amat kasar di dalam gelanggang mengganggap setiap anak murid beliau sebagai musuh. Natijahnya kesemua anak murid beliau dilatih dengan amat kasar dan sering merosakkan pagar gelanggang mereka. Namun apa menarik diceritakan oleh murid lama ini, perwatakan Arwah Cikgu Majid amat berbeza dengan di luar gelanggang sebagai seorang yang amat peramah, warak serta merendah diri.

Malah dengan perwatakan sedemikian dan sering berketayap dan berjanggut sehingga ke dada, tiada siapa menyangka bahawa Arwah seorang guru Gayong yang amat dihormati kerana ilmu fizikal dan kebatinan Gayongnya yang sering menjadi bualan.

Cerita murid Gayong lama ini saya teruskan lagi sambil minum di kedai bersama. Kami korek cerita lama seperti sumbangan mereka dalam peristiwa 13 Mei 1969 yang mana kesemua yang terlibat adalah murid Gayong yang tidak pernah disangkakan kehebatannya. Dengan sikap rendah diri dan menjalani kehidupan ringkas rupanya mereka mempunyai bekalan Ilmu Gayong yang amat cukup walaupun hanya belajar peringkat Tapak Gayong. Namun, kesemua mereka tidak turun ke Kuala Lumpur pada masa tersebut kerana firasat Arwah Cikgu Majid menyatakan bahawa kesemuanya akan selamat dan tidak akan berlarutan berdasarkan beberapa amalan Arwah (ini tidak perlu diceritakan).

Beliau juga pernah dikatakan hadir daripada Perak atas pelawaan pihak tertentu bagi bermalam di Kampung Medan pada satu ketika dulu. Tetapi keamanan dan perpaduan amat menjadi impian setiap daripada mereka. Semoga sikap prejudis tidak lagi menjadi api dalam sekam.

Walaupun Pakcik Mail mengakui bahawa beliau tidak belajar habis Ilmu Gayong ini daripada Arwah Cikgu Majid tetapi sikap rendah diri beliau dan bentuk fizikal serta cara tuturnya agak memberikan gambaran bagaimana ilmu beliau.

Agak menggerunkan AJK Penduduk yang minum bersama kami apabila Pakcik Mail menyatakan bahawa dulu biasanya Anak Gayong tidak takut benda tajam dan kepanasan api. Sekiranya Anak Gayong, setakat bara boleh dipegang menjadi arang. Minyak panas, menggoreng dan memasak tu boleh sentuh dengan tangan sahaja, tutur Pakcik Mail.

AJK penduduk yang ada bersama mendengar penuh minat tetapi saya menanyakan beberapa ayat amalan daripda quran berkenaan menyejukkan kepanasan yang biasa di amalkan oleh Anak Gayong. Pakcik Mail mengiyakan bahawa itu adalah ayat yang sama yang pernah dibekalkan oleh Arwah Cikgu Majid kepada beliau semasa bergayong di zaman 50an daulu. Pada masa itu, beliau adalah remaja lagi.

Pakcik Mail yang turut berkesempatan membuat demontrasi besar-besaran di hadapan Sultan Perak pada tahun 60an ini memaklumkan bahawa pada masa itu demo memang hebat. Orang tengok amat takut dengan ilmu Gayong.

Beliau turut menceritakan pada awal remaja beliau pernah membuat demo di Perak dan mungkin disebabkan umurnya beberapa orang lelaki berbangsa cina mencabar beliau. Perkara ini dirujuk kepada Arwah Cikgu Majid selaku guru beliau. Beliau ingat bagaimana beliau disergah oleh guru beliau "Beli!" (Terima cabaran tersebut)

Ekoran daripada itu beliau mencari beberapa lelaki cina tersebut dan menyatakan hasrat beliau sedia membeli dan memohon agar berjumpa OCPD untuk menandatangani surat mati. Tetapi kesemua mereka takut dan enggan meneruskan niat mereka.

Soalan terakhir semalam sebelum berpisah, saya menanyakan bahawa sekiranya senjata tidak sempat belajar dan hanya tapak dipelajari dengan Arwah Cikgu Majid, bagaimana pula dengan amalan Arwah Cikgu Majid, adakah diperturunkan bersama semasa latihan?

Beliau cuma kata beliau belajar tidak habis tetapi bab tu adalah sikit setakat nak tolong orang kita. "Datang rumah!".

1 comments »

  • tdpp2008 said:  

    As Salamu Alai Kum.. Aper nama penuh Allahyarham Cikgu Majid ni. Adakah Majid Omar??

  • Leave your response!