Latihan Kecergasan dan Tempur Bebas Dalam Cuti Sekolah - Minggu Pertama & Kedua

Thursday, June 04, 2009 Leave a Comment

Sebagaimana yang diwar-warkan sebelumnya, sepanjang cuti sekolah ini beberapa gelanggang pihak kelab mengadakan latihan kecergasan dan tempur bebas sepenuhnya bagi meningkatkan stamina dan kecergasan pelatih remaja dan kanak-kanak khususnya memandangkan mereka telahpun menghabiskan silibus peringkat pertama kebanyakannya dan akan menduduki ujian bengkung dalam masa terdekat.

Program 4 minggu ini bermula seminggu sebelum cuti sekolah yang mana program kecergasan dibuat melalui beberapa latihan ringan yang mengandungi latihan dan senaman tertentu bagi mengenal pasti status kesihatan dan kecergasan setiap pelatih di gelanggang dan direkodkan. Latihan ketahanan sebegini sememangnya bagus memberikan tekanan kepada pelatih dan setelah tekanan tersebut berjaya diatasi, pelatih akan terbiasa dengan latihan tersebut dan merasai keseronokan dalam latihan kelak terutama beberapa latihan di bengkung hijau kelak.

Latihan yang sama diulang setiap minggu dengan peningkatan bilangan dan ratio latihan yang semakin hari semakin meningkat. Peningkatan dibuat sebanyak 100% setiap minggu dengan 'amaran' latihan yang dibekalkan diamalkan di rumah sepanjang cuti sekolah.

Latihan menentukan stamina serta pengawalan pernafasan dibuat melalui berlari sahaja memandangkan ia merupakan latihan yang paling ringkas, jimat dan amat berkesan sekali dalam menentukan matlamat kecergasan. Malah latihan ringkas itu mampu mendidik dengan cepat mengenai asas pengawalan nafas.

Minggu pertama program yang diaturkan lebih menjurus kepada pengenalan sahaja terutama mengenai latihan dan tempur bebas. Latihan yang dibuat adalah ringkas tetapi memberikan tekanan secara tidak langsung kepada latihan yang lebih keras menanti.

Setiap pelatih dilihat kecergasannya melalui larian peringkat pertama yang mana dijalankan secara bilangan jarak yang dibuat sehingga 2-4 kilometer. Mereka tidak pernah sedar bahawa pada malam tersebut, dalam masa yang singkat mereka telah menghabiskan jarak yang sebegitu jauh tetapi dalam masa yang singkat. Larian dibuat dalam masa ratio 5+5+5 minit.

Pada minggu kedua pula, latihan ketahanan ditambah sebanyak 100% dan begitu juga masa tempur bebas yang meningkat daripada 10+10+10 saat kepada 20+20+20 saat. Manakala larian pula ditukar kepada sistem masa yang mana memakan masa 20 minit.

Pihak kelab berharap bahawa peningkatan 400% akan dilakukan kepada semua latihan tersebut pada minggu keempat program di cuti sekolah ini. Manakala latihan stamina dan kecergasan melalui larian boleh dibuat sehingga larian selama 40 minit tanpa henti.

Pihak kami percaya bahawa dengan latihan sedemikian, persediaan pelatih ke arah program Tempur Bebas yang bakal diadakan lebih menyakinkan walaupun kemenangan bukan matlamat sebenar.


0 comments »

Leave your response!