"Apa pandangan cikgu mengenai AMANAH dalam silat kita?"

Saturday, June 26, 2010 Leave a Comment

"Apa pandangan cikgu mengenai AMANAH dalam silat kita?"


Persoalan itu pada mulanya dianggap sebagai gurauan atau cubaan dan dugaan kepada gurulatih muda seperti saya (shams) tapi bila bincang dan bersembang dengan panjang, dilihat individu ini lebih ingin melihat pandangan daripada sudut orang muda. Saya telah cuba menjawab soalan tersebut dengan cara lebih pendek dan ringkas agar pandangan saya itu jelas mengenai cara pembawaan saya dalam Silat Seni Gayong.

Persoalan ini ditimbulkan oleh seorang orang lama yang dilihat boleh menjadi rujukan kami dan bukan merujuk kepada kami tetapi segala persoalan sedemikian membuatkan kami yakin bahawa suara kami mampu kepada pandangan yang lebih akademik.

Itu kali pertama saya menjawab persoalan tersebut walaupun beberapa guru lama termasuk guru-guru saya menanyakan persoalan yang sama. Ini tidak termasuk rakan-rakan seperjuangan dan mereka yang lain apabila sekarang ini semua Seni Gayong heboh mempersoalkan soal Amanah dalam Silat Seni Gayong. Baik amanah melibatkan individu, silat, gelanggang mahupun adat.

Persoalan ini sering saya jawab kepada rakan-rakan yang berlatih di bawah KSSG yang mana secara jelas saya katakan ialah "Takde gelanggang, jangan sembang"


Beberapa minggu lepas saya sempat menemui beberapa orang lama Seni Gayong yang masih muda di bawah umur 50 tahun yang mana banyak kami bercerita. Kebanyakan mereka daripada gelanggang yang "tidak berdaftar" mahupun daripada tangan guru-guru lama yang mengajar secara kekampungan. Pagi ini juga saya menemui seorang rakan seperjuang daripada PSSGM yang turut mendidik anak bangsa melalui gelanggang Silat Seni Gayong. Maka saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab persoalan amanah dengan lebih lanjut dari sudut perpekstif saya.

Silat Seni Gayong ini adalah satu ilmu seni beladiri melayu yang menjadi bukti bagaimana tingginya tamadun keilmuan orang melayu zaman dahulu kala. Kemudian atas peredaran zaman, ilmu ini terus di zahirkan melalui silibus dan pembelajaran yang lebih sistematik. Silat Seni Gayong jika dinilai dari sudut ilmu, ia adalah amat tinggi nilainya kerana didalamnya merangkumi semua gerakan, peringkat mahupun permainan. Tidak seperti mana-mana seni beladiri lain yang memberikan penumpuan kepada asas tertentu sahaja. Tetapi apa yang penting, ia adalah masih ILMU.

Bila disebutkan ilmu, saya mendidik anak silat saya kepada dua perkara. Pertama; Ilmu akan menjaminkan amalan baik akan terus dicatit sehingga hari kiamat. Maka pewarisan ilmu secara berterusan akan menjaminkan amalan baik ini terus dipahalakan kepada gurunya.

Kedua; Bila disebutkan ilmu maka ia bersifat mendidik. Sebagai gurulatih, adalah tugas kita mendidik. Adalah menjadi kesilapan gurulatih kini, pendidikan silat mereka ditekankan kepada silibus mahupun kepada arah pertahananan diri mahupun sparring dan melupakan Silat merupakan antara platform terbaik dalam mengembangkan Islam mahupun peradaban yang baik. Cuba lihat orang lama kita, semuanya mahir beragama. Mana ada pejuang dahulu yang bukan beragama. Kita lupa mengenai fakta berkenaan.

Bila berbicara soal amanah, apalah sangat amanah yang boleh diperturunkan oleh Melayu lama kepada kita melalui Silat Seni Gayong ini kecuali ilmu yang mampu mendidik kita dan mewariskan kepada generasi seterusnya.Bagi saya itulah amanah sebenarnya. Agar pahala guru lama akan terus terjamin untuk membantu mereka di sana kelak mahupun kita yang bakal menyusul kemudian.

Amanah sebenarnya apabila kita menyusuri dan faham mengenai falsafah Seni Gayong yang bukan sahaja menekankan kepada pelajaran silat tetapi kepada peradaban manusia yang lebih baik. Seterusnya menjamin warga Islam yang lebih berdisplin dalam menjalani kehidupan seharian dalam pelbagai aspek kehidupan.

Sebaliknya agak kecewa apabila unsur amanah lebih dilihat sebagai pangkat, adat mahupun kelebihan. Sedangkan kita lupa, tenaga muda yang ada ini tidak kita curahkan kepada anak Islam yang lain tetapi masih mahu mengaku anda Anak Gayong. Bukan sahaja tenaga muda, malah yang mengaku Anak Gayong sudah kaya raya juga jarang dilihat mendermakan apa jua kepada peningkatan Gayong tetapi lebih suka bercerita mengenai sumbangan kewangan yang amat kecil berbanding apa yang ada.

Kita lupa bagaimana ADMAR habiskan kehidupannya untuk Seni Gayong. Kenapa kita tidak belajar sikap amanah daripada falsafah beliau dalam mengembangkan Gayong. Beliau bukan berharta tetapi sanggup menggunakan apa sahaja termasuk kebengisan dan kekuatannya. Beliau memilih ilmu ini untuk dikembangkan daripada menjadikan dirinya kaya atas Seni Gayong.

Beliau telah menjadikan ramai anak muda kita berani dan berkeyakinan tetapi dalam masa yang sama, disiplinnya juga amat digeruni. Tetapi kita masih bergaduh soal ranting tanpa melaksanakan apa yang di utamakan. Mungkin ini salah satu sebab kenapa guru lama kita sanggup mati sendirian tanpa dikenali lagi jasa mereka.

Wallahua'llam

shams

2 comments »

  • Anonymous said:  

    sy tgk penting juga pertikaian amanah yg ada heboh la ni tp apa yg cikgu sham katakan lagi betul.

    kita byk cakap sahaja. Tapi gelanggang makin lama makin hilang. Gayong tak sama dulu lg.

  • Anonymous said:  

    pendapat seorang guru muda yg patut dipikirkan bersama-sama

  • Leave your response!