, ,

Pak Jab Dalam Memori

Saturday, December 24, 2011 Leave a Comment


Petang itu 2 orang kawan memaklumkan yang Pak Jab meninggal dunia. Baru sahaja mendengar berita berkenaan, Ali dari Kota Bharu memaklumkan perkara yang sama dan kemudiannya Nik Iznan memaklumkan lagi kepada saya melalui Facebook. Takziah buat keluarga Arwah Rajab bin Samat, pengasas Silat Seni Gayong 3 Kalimah, Kelantan.

Memori saya bersama Cikgu Rajab bin Samat yang lebih saya panggil sebagai Pak Jab itu tidak banyak mana kerana saya secara peribadi tidak berguru secara terus. Sekadar bertemu mata berselisih, berbual dan bersama dalam apa jua program melibatkan Seni Gayong mahupun silat.

Arwah merupakan antara murid Cikgu Awang Daud yang Cikgu Awang sendiri menghormati beliau dan Arwah sering membawa keluarga mahupun anak muridnya ke Gurun untuk bertemu dengan Cikgu Awang Daud mahupun berbeza pertubuhan (mahupun Pusaka Gayong dan ADMAA). Malah Arwah amat menghormati Cikgu Awang Daud selaku guru dan rakan kerana usia yang tidak jauh berbeza.


Pertemuan terakhir saya sendiri dengan Arwah di rumah Cikgu Awang Daud semasa menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki bongsuCikgu Awang Daud di Gurun, Kedah. Malah Arwah Pak Jab pada hari tersebut turun bersama keluarga dan anak murid beliau dengan sebuah bas dan turut membawa beberapa pasang pen-demo silat daripada Silat Seni Gayong 3 Kalimah bagi memeriahkan dan meraikan majlis di rumah gurunya itu. 

Paling seronok bila melihat Arwah seronok sungguh di tepi gelanggang ADMAA memberikan arahan sambil menjerit kepada anak Gayongnya yang membuat persembahan di hadapan pengantin pada masa itu. Dia senyum melihat saya dan bila saya berkata "semangat dia hari nih!"

Di Kelantan, PakJab dikatakan antara murid Gayong lama yang mempunyai banyak ilmu kebatinan Seni Gayong termasuk lain-lain ilmu kebatinan memandangkan ramai guru Gayong yang lebih senior sudah meninggal dunia pada masa itu.

Pada majlis kenduri tersebut, kesempatan berbual diambil dan ternyata Arwah masih cam saya cuma tidak ingat nama. Saya katakan Arwah cam apabila antara perkara pertama dikata ialah "besar nampak la ni!" Dalam pertemuaan ringkas, saya sempat memberi janji untuk hadir bertemu Arwah di Kelantan selepas majlis kenduri di Gurun. Beliau bersetuju dan seakan faham mengenai tujuannya. Tetapi perancangan Allah SWT lebih baik, saya tidak sempat menemui Arwah mahupun menjejakkan kaki ke gelanggang di Panji yang mana suatu ketika pernah diajak ke sana oleh Arwah.

Gelanggang Arwah di Kg. Tikat tidak jauh daripada rumah saya sebelum beliau berpindah ke Kg. Panji. Ramai rakan-rakan sekampung menyertai silat di bawah seliaan Arwah. Kekadang saya turut ke sana tanpa pengetahuan keluarga dalam tahun 80an. Ada juga belajar tetapi bila bebudak belajar, faham-faham sajalah. Baruh dan sungai nampak lebih menyeronokkan daripada latihan tersebut. Tambah lagi Arwah pernah pesan kepada kami "siapa nak belajar Gayong, semayang takleh tinggal". Kita yang bebudak ni faham lain dan terus tak belajar.

Teringat semasa satu ketika perarakan Sambutan Merdeka di Stadium Muhammad ke-4 yang Arwah sempat menegur saya yang masa itu lead team silat daripada PSSPGM Kota Bharu tapi kami hadir untuk berarak sahaja kerana pasukan demo dah diberikan tugasan kepada daerah lain. Selepas menegur, beberapa orang anak didiknya seperti bertanyakan sesuatu. Kerana kebanyakannya mereka mengecam saya yang tinggal berhampiran dengan gelanggang Arwah tetapi bukan bergelanggang disana.

Arwah cukup terkenal dengan kemesraannya dan keramahannya. Biarpun pada awal mengenali Arwah pada tahun 80an dan 90an, beliau dilabelkan sebagai guru Gayong yang bengkeng dan tegas.

Kini guru lama semakin hari semakin meninggalkan kita. Apa yang kita faham dan ambil ikhtibar dalam soal ilmu Seni Gayong dan pertubuhannya?

1 comments »

  • Teku said:  

    Al-Fatihah.

    Pernah berguru dengan beliau masa di sekolah menengah tingkatan 1 tahun 1997. Masa belum ada Gayong Tiga Kalimah lagi.

  • Leave your response!