02-03.08.2008: Gurun, Kedah
Wednesday, August 06, 2008
Leave a Comment
Tepat jam 8.00 malam, 01.08.2008 saya dan beberapa pesilat Gayong lain seperti Hazil, Kama, dan Nasrun bertolak ke utara atas beberapa rancangan program yang telah dirancang secara tersusun.
Atas beberapa sebab, perjalanan dilencongkan ke Grik Perak dan ke utara melalui Lebuhraya Butterwoth Kulim Expressway tetapi lencong ke arah Sungai Petani daripada simpang Kupang, Kedah. Jalan, jangan tak jalan!
Jam 5.00 kami sampai ke Gurun Kedah dan desnitasi pertama kami ialah Masjid Gurun. Tempat biasa aku bertapa waktu pagi setiap kali ke Gurun. Nak melelapkan mata rasanya masa terlalu pendek sangat. Selepas subuh, sempat juga rehatkan badan sebelum ke Kg Kepala Bukit tempat gelanggang Pusat PSSPGM.
Semua perancangan masih teratur. Namun, sebaik rancangan kami, lebih baik rancanganNya. Pagi kami dikejutkan dengan teguran seorang pakcik tua. Dua orang sebenarnya. Tanpa mengenali kami dan sikap mesranya, kami diajak ke gerai sebelah masjid bagi bersarapan setelah memaklumkan kami datang daripada Selangor dan berhajat ke rumah Pakndak Majid.
"OOoo.. Orang Gayong rupanya!" Meh kita gi cari makan dulu......
Orang tua yang bertugas membantu kerja-kerja masjid itu ternyata suka membuat lawak dan tak henti bercakap termasuk memperkenalkan kami kepada orang Gurun, Kedah. Malah beliau membongkar rahsia Pakcik tua seorang lagi yang tidak banyak bercakap tetapi banyak senyum.
Orangnya bernama Pak Sheikh Haji Hassan dan kawan rapat Ahmad Boestaman, Pak Sako (Pakcik ni panggil Pak Sako sebagai "Hantu Raya") dan ahli politik yang lain termasuk Tunku Abdul Rahman. Perwatakannya warak dan berpakaian amat kemas.
Agak-agak berapa umur dia?, tanya pakcik Siak masjid tu.
70an?....... Saya cuba meneka. Makcik kedai membawa kopi ais pesanan Haji Hassan.
Saya cuma mampu memandang apabila Haji Hassan meneguk kopi ais di pagi-pagi buta. Pak Siak masjid dah balun gelak tak henti dan dok tepuk bahu aku..
70?.. 120 tahun ini orang tua...
Saya dan kawan-kawan saling memandang dan excited mula dinampakkan. Macamana orang tua yang panjang umur ni tak rabun dan tak nyanyuk. Kuat lagi kakinya. Malah pekena kopi ais lagi di pagi-pagi buta.
Apa petua pakcik?... saya start main peranan
Setiap hari saya akan jalan 8 batu dan berhenti sejam di kubur. Jawab Haji Hassan ringkas.
Makanan ada pantang?
Semua makan, pantang halal haram saja.. semua di meja gelak serentak.
Ini orang tua jangan main wooo.. banyak ilmu, bas tak berhenti, tepuk saja mesti mati bas. Dia pandang je musang atas pokok, musang pun jatuh!.. Pak Siak Masjid ungkai rahsia perjalanan Haji Hassan. Orang tua tu buat bodoh je.
Setelah panjang lebar berborak sepagi hari, kami mohon diri ke rumah Pakndak Majid dan pertemuan itu telah membuat Haji Hassan atau digelar Tok Sheikh Bangkok itu mengajak kami lagi ke rumahnya. Kami terpaksa tolak dengan cara baik kerana perancangan telah agak berubah atas pertemuan pagi itu.
Namun, sedikit masa diluangkan untuk melawat Haji Hassan di rumahnya selepas waktu zohor nanti.
Kedatangan kami disambut oleh Makndak dan dimaklumkan bahawa Pakndak berada di kedai kopi stesen kereta sewa. Tempat biasa!
Sempatlah lepak kejap di kedai situ sambil pekena air sekali lagi dengan Pakndak bagi berbincang tujuan kehadiran kami pada hujung minggu ini. Setelah perancangan dimaklumkan dan perbincangan dibuat, sedikit penambahan barangan perlu dibuat.
Kaki kami tengahari itu dipanjangkan lagi ke rumah Paksu Awang bin Daud, guru silat saya semasa di Kelantan. Sambutannya macam biasa, diurut dan tepuk bahu saya. Cuma tangan dia tak mengganas je hari tu.. Muka saya pun tak cecah lantai.
Agak lama rasanya tak menyinggah di rumah Cikgu Awang. Banyak betul bezanya. Kini di hadapan rumahnya didirikan satu gelanggang silat yang dikatakan mampu melatih 80 orang pesilat dalam satu masa. Peralatan silatnya juga mengagumkan kami.
Kalau orang tua ni boleh buat begini, kenapa orang muda macam kami cepat putus asa. Patutnya orang macam pak su ni dah rehat ngan anak cucu, tetapi aktifnya bersilat buat kami malu. Terutama bila Paksu dah start kutuk saya lepas dia tayang body dia kat budak-budak saya. Tergamam budak-budak tu tengok body orang tua tu...
Gurulatih kena jaga badan sikit. Walaupun mengajar tetap kena boleh buat juga.. Saya kena sound dengan gurulatih sendiri.
Tetapi rata-rata dapat jugak la pujian kerana masih aktif. Budak-budak saya ramai dah 'mati'.. kawan-kawan lenyap entah kemana.. saya hidup bersilat lagi. Sound & safe. Lagipun badan budak-budak yang dok latih sekarang ni ada lain macam sikit. Paksu tak tahu macam mana Puchong punya latihan, 3-4 set weight training biasa lah... Tahun depan gi rumah Paksu rasanya semua dah jadi Meor Junior.
Sebelum azan zuhur berkumandang, kami bergerak ke Masjid Gurun balik untuk bersembahyang zuhur berjemaah di sana. Sesambil itu, kami ambil peluang ini untuk mandi dan berehat seketika. Zuhur itu tidak mengizinkan kami bertegur sapa dengan Tok Sheikh Bangkok. Tetapi pagi tadi ada berjanji dengan beliau akan singgah di rumahnya selepas zuhur memandangkan pagi tadi telah menolak permintaannya atas alasan jadual padat. Ini pun banyak lari jadual perjalanan kami.
Atas rasa hormat keperibadian Tok Sheikh Bangkok ditambah pula dengan umur Tok Sheikh Bangkok yang panjang serta amat sihat buat kami tertarik untuk mengenalinya.
Sempat la juga menyinggah di teratak tok Sheikh Bangkok sambil borak kosong dari jam 3.00- 4.00 petang. Hazil termanggu dek mengantuk di kerusi sofa Tok Sheikh Bangkok. Banyak yang kami belajar daripada orang tua tu. Dia mungkin orang yang pertama kami jumpa membeli rumah yang agak besar dan kemudiannya diperuntuhkan sedikit bahagian rumah tersebut atas alasan ia terlalu besar baginya. Jarang nak jumpa zuhud sebagaimana orang tua ni. Kalau diikutkan saiz rumahnya, besar lagi rumah saya. Tapi siap diruntuhkan separuhnya. MasyaAllah!
Makan sudah! Mandi pun sudah. Kami menghala ke gelanggang pusat PSSPGM Gurun dan kerana keletihan kami tertidur dalam gelanggang dihurungi nyamuk yang kelaparan. Terjaga dari tidur, masing-masing bersiap untuk ke rumah Pakndak bagi melaksanakan tujuan utama kami ke sana, Mandi Seni, Mandi Tapak dan Khatam Qul.
Selesai semuanya jam 11.00 malam. Kami bermalam di rumah Pakndak Majid.
Selesai sarapan jam 10.00 pagi, agak lewat bertolak daripada Gurun, Kedah. Rumah Paksu Awang pun tak sempat nak disinggah sebelum pulang. Rancangan hari kedua sepatutnya ke batu Kurau. Rumah Pakngah Izahar, guru Gayong di Taiping.
Dalam masa yang sama, Cikgu Kasturi nak jumpa kami di Sungai Petani. Jam dah pukul 11. pagi. Kami batalkan program ke Batu Kurau dan singgah di Sungai Petani untuk berjumpa dengan CIkgu Kasturi, anak ketiga Pakndak Majid.
Beberapa perbincangan dibuat dan paling penting ada yang mengirim agar membeli buku Tempur Tangan Kosong (TETAK) daripada GelanggangPusat PSSPGM.
Kami meneruskan perjalanan kami di saat hampir zohor. Kami terus ke Grik melalui Lebuhraya Utara Selatan. Kami berhenti seketika di Rawat & Rehat kawasan Juru untuk makan tengahari. Teringat pulak pada seorang Cikgu Gayong yang juga partner pisau saya semasa di Kelantan, Cikgu Sabli Shamsuddin di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Lantas kami pusing ke Kepala Batas selepas makan tengahari bagi berjumpa dengan Cikgu Sabli. Perjalanan 2 hari itu tamat jam 1.30 pagi apabila sampai di Puchong, Selangor.
0 comments »
Leave your response!