, , ,

"Perigi Mencari Timba" Sekadar Sinetron Orang Melayu Tidak Faham Budaya Sendiri

Wednesday, June 17, 2009 Leave a Comment

"Mana ada perigi mencari timba.. Timba harus mencari perigi. Jangan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong"

Selama dua hari berada di Kelantan atas urusan kerja dan satu perbicaraan di sebuah Mahkamah di Kelantan memberikan saya rezeki berjumpa dengan seorang rakan lama dalam silat.

Semasa kami bertembung pada tahun 2006, saya dah setahun mula aktif balik dalam melatih budak-budak silat setelah lama hanya membantu gelanggang. Ketika itu ada satu persoalan ditimbulkan kepada saya;

Berapa mung akan bertahan ni... Ini negeri orang.

Saya mengambilnya sebagai motivasi dan menjawab pada tika itu;

Budak Gayong boleh bertukar ganti, saya tidak!..

Jawapan saya cukup menyakinkan tetapi tidak pasti beliau percaya atau sebaliknya kepada saya. Kini setelah hampir 4 tahun, kami bertemu di bandar Kota Bharu dan ayat pertama keluar daripada mulut beliau;

Tahniah! aku ada ikut web silat mu..

Cuma beliau musykil kenapa saya cuba hentikan usaha membuka gelanggang dan memperkasakan Silat Seni Gayong atau apa jua namanya. Kalau usaha itu berjaya menarik minat orang melayu kembali malah mampu membuat suatu yang berfaedah, kenapa tidak teruskan.

Saya hentikan cerita mengenai pertemuan rakan lama itu. Saya ingin kongsikan pandangan saya dan kenapa saya ibarat perigi mencari timba yang pernah dilabelkan pada satu ketika.

Orang berkata ADAT silat mana boleh perigi mencari timba maka usaha dan niat saya untuk membuka dan membuka gelanggang dilihat sebagai suatu tindakan yang amat janggal dan dalam masa yang sama saya melihat yang menganggap saya sedemikian sebagai buta mata.

Dulu-dulu memang perigi mencari timba dalam soal silat kerana mana ada gelanggang silat tidak penuh dan sokongan komuniti mana yang tidak percayakan disiplin silat ini. Tetapi kita perlu ingatkan diri kita bahawa melalui pengalaman sejarah yang perit bagi pihak pendatang di tanah melayu ini bermula pada tahun 1511 apabila Portugis mengambil masa 3 hari untuk turun ke darat walaupun bersenjatakan meriam dan melayu hanya dengan senjata tradisi.

Itulah kekuatan Melayu. Bukan pada kejahilannya tetapi pada ketamadun ilmu silat dan akidah Islam yang tinggi. Pantang rendah semangatnya.

Bermula daripada zaman itu, Portugis, Belanda mahupun Inggeris mula merasai kesan penentangan orang Silat di seluruh Nusantara Melayu. Ketika itu silat amat digeruni. Maka secara tidak sedar kita melihat silat itu sendiri mula ditinggalkan oleh orang Melayu atas propanganda bangsa asing dengan menggunakan orang melayu yang bodoh sendiri sebagai boneka dalam menghilangkan gah silat di mata orang Melayu sendiri.

Silat mula dilabelkan sesat, jahil dan tahyul. Media massa juga memainkan peranan yang berterusan daripada dulu sehingga kini yang melabelkan silat dengan kemenyan dialurkan keris melalui asapnya. Ditambahkan dengan gerak kebatinan sahaja dan mentera yang melampau.

Maka silat terus dilabelkan sesat dan bahaya untuk dipelajari. Siapa yang katakan sedemikian? Orang melayu yang kata. Tetapi kita tidak sedar, yang membuat sedemikian adalah propaganda bangsa asing.

Yang mengatakan sedemikian adalah orang-orang Melayu bodoh yang mereka sendiri tidak belajar silat atau pernah belajar aliran yang menyongsang, maka dikatakan seluruh silat itu sonsang.

Mungkin melayu yang bodoh ini hanya pandai buat hukum tetapi tidak tahu mengenai asas silat itu sendiri. Antara asas silat ialah banyak pendokongnya ialah para alim ulama dan pemimpin agama Islam dalam satu-satu komuniti. Cuba sebut nama para pengganas melayu yang pernah menentang bangsa asing. Di situ ada asasnya..

400-500 tahun berlalu, di manakan kita kini? Silat adalah pengemis di tanah sendiri.

Kesannya, anak Melayu tidak terdidik lagi.

Para Melayu ini berkata dengan bangga bahawa nak disiplinkan anak melayu dengan beladiri lain pun boleh.. Ini jawapan amat bodoh.

Asas Silat Melayu adalah bertunjangkan akidah dan bukan adat (setengah orang pentingkan adat) maka lahirlah disiplin melaluinya seperti penekanan solat kemudiannya zikir. Penerapan asas Islam dalam silat adalah jelas dengan tindak tanduk dan kesan selepas silat antara hubungan pesilat dan ibubapa serta masyarakat.

Malah silat juga mengajar doa serta mendoakan para keluarga mereka. Setakat pengalaman saya, tiada apa jua kesan yang baik dari sudut Islam kepada ibubapa selain anak mereka masuk silat. Yang saya pasti kalau Silat Seni Gayong, sebelum buka dan tutup gelanggang kami ajarkan bacaan Quran dan sedekahkan pahala bacaan Quran tersebut doakan kepada ibu bapa mereka.

Setelah berabad, fikiran orang Melayu ditanam dengan sikap negatif mengenai silat maka silat tidak lagi mendapat tempat kecuali bersifat kekampungan semata-mata. Silat pun tidak boleh dikembangkan jauh jika dibandingkan dengan seni beladiri baju putih yang lain. Orang melayu lebih bangga belajar senibeladiri asing sedangkan tiada apa jua elemen Islam diterapkan.

Sebaliknya penjajahan minda membuatkan silat terpaksa dikaji semula dan terpaksa diletakkan satu garis panduan oleh pihak kerajaan. Manakala tindakan senibeladiri lain tidak pernah dikaji dan dipandang negatif. Saya pernah tanya kenapa gambar pengasas seni beladiri itu dipamerkan di hadapan dan ditundukkan oleh pelatihnya? Kenapa kita perlu hormat tunduk? dan beberapa tindakan lain.. pernah kita kaji?

Masa berlalu, senibeladiri lain dah bertapak dengan bangunan tinggi-tinggi. Kerajaan dan badan penguatkuasa sendiri sudah tidak pandang silat walaupun dulu bermatian berperang adalah didikan orang silat.

Jelas kita ketinggalan jauh dan mungkin ketinggalan sejauh 100 tahun kebelakang berbanding senibeladiri lain di Malaysia. Kita boleh bilang bangunan pusat latihan kita dan pusat latihan mereka. Pentadbiran mereka dan Pentadbiran kita. Sistem kewangan persatuan mereka dan kita. Keahlian mereka dan kita.

Berdasarkan pada status merempat ini, adakah wajar kita nak mengekalkan anutan "Perigi tidak mencari timba" . Kita tiada nama dan promosi apa lagi nama baik jika dibandingkan. Orang Melayu sendiri melunyaikan silat. Maka saya berpandangan, elok kita kembangkan kembalikan serta naikkan nama silat agar orang lebih mempercayai silat melayu. Tidak kisah silat apa pun anda.

Pada tahun 2005, saya melihat tiada silat yang aktif di Selangor. Ramai yang boleh kata, ada banyak yang aktif. Aktif di kertas semata-mata kot. Maksud aktif adalah suatu yang boleh dibanggakan oleh masyarakat dan memberikan satu kompetitif kepada senibeladiri luar.

ALhamdullilah, walaupun pelatih sering bertukar, saya dan mereka yang komited berjaya membuat nama Silat Seni Gayong dipandang oleh masyarakat Lembah Klang dan ini dilihat memberikan kesan baik kepada seluruh Pertubuhan Silat Seni Gayong (PSSPGM dan PSSGM). Malah dalam usaha kami, rakan-rakan PSSGM juga banyak membantu dan memotivasikan kami.

Apabila kami mula dipercayai dan nama silat mulai mekar di telinga masyarakat Melayu, itu pun sudah kami banggakan. Tidak kisah apa orang mahu labelkan kami. Kami jalankan tugas moyang-moyang kami dalam mendidik anak Melayu dengan akidah dan syariat Islam. Selebihnya bergantung kepada masyarakat untuk menentukan.

Kami telah berhenti ke sana ke mari membuka gelanggang dan akan menumpukan kepada gelanggang yang sedia ada dan hanya membuka gelanggang atas permintaan masyarakat sahaja. Kali ini, barulah betul-betul "timba mencari perigi".. sebab di sini kami yakin bahawa masyarakat dah tahu di mana perigi dan kualitinya.

shams

0 comments »

Leave your response!