,

Lawatan Kepada Cikgu Ibrahim Zakaria Pada 1 Ramadhan / 22.08.2009

Wednesday, August 26, 2009 Leave a Comment

Pada 1 Ramadhan bersamaan 22.08.2009 tempohari, pihak kami berpeluang melawat Cikgu Ibrahim Zakaria atau lebih dikenali sebagai Bain @ Bahim di kediaman beliau di Kampung Baru, Sungai Karangan. Bagi yang tidak pernah ke sana. Tempat tersebut berhampiran dengan Padang Serai dan Padang Meha dan bagi yang menggunakan Highway Kulim-Butterworth, ia tidak jauh daripada simpang selepas tamat lebuhraya tersebut.

Lawatan di buat secara mengejut tanpa dirancang perjalanannya. Alhamdullilah tidak sesat langsung perjalanan ke sana walaupun menurut Bahim, jarang orang tak sesat ke rumahnya. Nostalgia yang paling mahal bagi beliau masih ada di hadapan rumah beliau, motor lama beliau yang berwarna merah. Bagi murid-murid lama Gayong Pusaka, motor itu mungkin mencuit kenangan lama bersama Bahim. Saya juga teringat lagi masa awal 90an bagaimana gagahnya motor tersebut yang selalu sampai di Gurun Kedah.

Kehadiran pihak kami dengan sebuah kereta disambut oleh 2 anak beliau bersama isteri beliau. Alhamdullilah, kesihatan Bahim agak membanggakan kini. Bahim diserang strok sebelah kiri semasa tidur dan hanya disedari semasa ingin bangun daripada tidur waktu paginya. Herot muka dah nampak macam normal walaupun dapat dilihat masih berkesan sakitnya.

Yang agak liat kini nampaknya tangan beliau perlu diurut setiap pagi terutamanya. Tanpa urutan tersebut, katanya tangan agak susah untuk dibengkokkan malah tangannya masih belum kuat untuk memegang. Manakala kaki beliau dah agak bersemangat dengan senaman kaki yang dilakukan beliau dengan turun-angkat kaki dengan bantuan alatan yang dibuat sendiri.

Sehingga kini Bahim mendapat rawatan daripada hospital dan perubatan tradisional sekitar Gerik dan Kulim. Semoga Allah SWT permudahkan urusan beliau.

Semasa lawatan tersebut, banyak yang dibincangkan mengenai silat terutama perpecahan yang banyak berlaku di dalam Pusaka Gayong terutama pembawaan dan pentadbiran PSSPGM sendiri. Perkara ini amat menyedihkan beliau.

Malah beliau secara peribadi ingin kalau diizinkan untuk melawat rakan-rakan lama dalam PSSGM mahupun Pusaka Gayong dan mengharapkan kami perkara yang sama. Kami memaklumkan beberapa nama Guru Lama yang telah kami lawati termasuk Pak Hussein Kaslan dan beliau amat berminat mengenai kesihatan Pak Hussein.

Selain daripada itu, semenjak berita mengenai kesihatan beliau dimaklumkan melalui laman ini, banyak panggilan beliau terima termasuk daripada golongan muda Gayong terutama daripada PSSGM. Alhamdullilah, sememangnya laman ini dibina atas dasar silaturahim Silat Seni Gayong.

Secara peribadi, banyak yang kami sedihkan dengan keadaan dan persekitaran beliau (dari kacamata Anak Gayong). Ditambahkan lagi dengan jasa dan layanan yang sedia ada. Biarlah apa jua pandangan kami dijadikan ikhtibar bagi kami. Cuma kami tinggalkan persoalan, adakah kita bersedia menerajui Silat Seni Gayong apabila ketiadaan si Senior kelak?

0 comments »

Leave your response!